BERITA UTAMANASIONAL

Media sosial medium interaksi utama di Malaysia

PUTRAJAYA, 3 MEI: Media Sosial adalah medium interaksi utama di Malaysia dengan 96.5 peratus individu menggunakan internet untuk mengakses laman web media sosial mereka tahun lalu, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi terus menjadi pilihan utama di Malaysia, dengan aplikasi yang sering digunakan ialah Facebook, Instagram, Twitter dan Whatsapps.

“Ia berbanding 2017 yang mencatatkan hanya 86.3 peratus, ia meningkat kepada 10.2 peratus pada 2018 yang menunjukkan bahawa Malaysia tidak menghadkan penggunaan media sosial sebagaimana yang diamalkan oleh beberapa negara lain,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Penemuan itu adalah sebahagian daripada hasil Laporan mengenai Penggunaan dan Akses oleh Individu dan Isi Rumah 2018 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa dalam tempoh setahun, jumlah penggunaan internet untuk maklumat mengenai barang dan perkhidmatan meningkat kepada 83.1 peratus.

“Mengakses internet untuk muat turun gambar, filem, muzik/video, bermain atau memuat turun permainan, adalah antara pilihan popular dengan peningkatan kepada 81.7 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, aktiviti perbankan menerusi internet juga menjadi pilihan dengan statistik menunjukkan terdapat peningkatan.

Katanya, ia selaras dengan gaya hidup serba sibuk oleh individu di Malaysia, di samping ramai memilih untuk mengelak daripada beratur panjang di kaunter bank.

-BERNAMA

 

 

 


Pengarang :