NASIONAL

‘Melody of Hope’ ceriakan 50 penghuni Asrama Bahagia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Tiada apa yang dapat digambarkan di riak wajah 50 penghuni Asrama Bahagia, Kampung Pandan, melainkan gembira dan teruja apabila diraikan dalam program nyanyian lagu raya dan berbuka puasa bertemakan ‘Melody of Hope’, di sini, baru-baru ini.

Program digerakkan mahasiswa Kelab Muzik Ensemble Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu bertujuan menyuntik semangat dan memberi pendedahan muzik kepada remaja terbabit sekali gus membimbing mereka mengenai peluang kedua.

Bercakap kepada SelangorKini, Pengetua Asrama Bahagia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Salmi Abdullah berkata, ia menampilkan sedikit kelainan berbanding program dijalankan di pusat pemulihan itu sebelum ini.

“Saya rasa ini adalah program lain daripada lain kerana kebanyakan program yang hadir ke sini selalunya berisikan motivasi dan kendiri.

“Untuk program muzik ini belum pernah diadakan lagi dan ini adalah pertama kali. Saya rasa remaja dan muzik tidak boleh dipisahkan kerana dengan adanya muzik, mereka akan rasa lebih bersemangat.

“Saya sangat bersyukur kerana program sebegini dibuat pelajar UiTM dan berharap aktiviti sebegini akan dijalankan lagi di sini. Saya juga berharap Kelab Muzik Ensemble dapat membantu remaja Asrama Bahagia yang mempunyai bakat terpendam untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Aktiviti permainan, pendedahan muzik dan majlis berbuka puasa antara pengisian sepanjang sehari program itu berlangsung.

Sementara itu, salah seorang remaja Asrama Bahagia, Atirah (bukan nama sebenar) memberi reaksi positif dengan aktiviti dijalankan kepada mereka sepanjang program berkenaan.

“Aktiviti sebegini bagus kerana ada kerjasama antara kumpulan, malahan ia sangat seronok dan kami tidak berasa penat walaupun di bulan puasa ini,” katanya.

Asrama Bahagia adalah tempat untuk tahanan sementara selain pemulihan bagi remaja perempuan berumur antara 13 hingga 18 tahun yang bermasalah dan menghadapi konflik dengan undang-undang.

 


Pengarang :