NASIONAL

Menteri Kabinet rafak sembah takziah kemangkatan Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Menteri Kabinet dan orang kenamaan merafak sembah takziah kepada seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini.

Ucapan sembah takziah tersebut dizahirkan menerusi laman Twitter mereka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendoakan semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan roh baginda dicucuri rahmat Allah SWT.

“Merafa’ sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu turut merafak sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan keluarga serta seluruh rakyat Pahang.

“Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengajak rakyat untuk mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat Allah SWT.

“Sembah takziah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah yang telah mangkat pada pagi tadi.

“Sama-samalah kita mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T. Al Fatihah,” katanya.

Ucapan sembah takziah turut disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

“Merafak sembah takziah kepada KYDMM Sultan Pahang, kerabat di Raja Pahang, dan seluruh rakyat Pahang Darul Makmur atas kemangkatan ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 8.50 pagi ini.

-BERNAMA


Pengarang :