GLOBAL

Mesir nafi tentera langgar hak asasi manusia

KAHERAH, 29 MEI: Tentera Mesir mengecam laporan Human Rights Watch yang menuduh tentera negara itu melanggar hak asasi manusia semasa menjalankan operasi anti-keganasan di utara wilayah Sinai, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap tentera Mesir, Tamer al-Refae memberitahu agensi berita MENA, laporan itu berniat untuk mencemarkan imej tentera dan negara Mesir.

Refae berkata, semasa menjalankan operasi itu tentera telah mengambil kira piawaian hak asasi manusia antarabangsa untuk melindungi orang awam, dengan melakukan serangan udara di luar kawasan kediaman.

Beliau berkata, penubuhan zon penampan di sempadan sejajar dengan resolusi kabinet dan “mereka yang terjejas akibat tindakan itu diberi pampasan dan menerima unit perumahan.”

Dalam laporan mengandungi 134 helaian dikeluarkan pada Selasa itu, Human Rights Watch menuduh tentera Mesir dan pasukan polis mencabuli hak asasi manusia terhadap orang awam di utara Sinai.

Sebaliknya kata Rafae, pihak tentera menyokong proses pembangunan di utara Sinai, menyelia 312 projek untuk memperbaiki hidup rakyat dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Tegasnya, tentera berjaya memusnahkan infrastruktur milik kumpulan pengganas, mengembalikan kehidupan yang biasa dan memelihara keselamatan penduduk.

— BERNAMA


Pengarang :