NASIONAL

Minyak sawit: Kerajaan jumpa anggota parlimen Eropah Oktober ini

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kementerian Industri Utama akan mengadakan perjumpaan dengan anggota Parlimen Eropah dan Majlis Eropah pada Oktober dalam misi mempromosikan minyak sawit negara.

Menterinya, Teresa Kok berkata, ia susulan pelantikan anggota Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menerusi pilihan raya yang baharu.

“Kita harus tunggu keputusan pilihan raya dan bulan Oktober ini saya akan ke Eropah untuk berjumpa anggota Parlimen mereka dan Pesuruhjaya Eropah yang baharu.

“Kita perlu bekerjasama dengan orang baharu (anggota Parlimen). Kita perlu faham bahawa ‘Delegated Regulation’ akan dikaji semula pada 2021, dan kita perlu bekerja keras untuk dua tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program duta minyak sawit dalam kalangan pelajar di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keputusan EU itu tidak membawa impak segera kepada ekonomi negara buat masa ini. – BERNAMA


Pengarang :