NASIONAL

MITI: Duti Anti-Lambakan dikaji semula

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kementerian perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjalankan kajian semula duti dikenakan terhadap pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, kajian semula itu dilakukan selepas kerajaan menjalankan dan memuktamadkan penyiasatan kajian semula pentadbiran ke atas pengeluar dan pengimport di Malaysia, serta pengeluar atau pengeksport dari negara-negara tersebut.

Penyiasatan kajian semula pentadbiran itu adalah mengikut Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan kutipan duti anti-lambakan yang dikaji semula ini pada 8 Mei, 2019 hingga 23 Mei, 2021,” katanya.

Duti anti-lambakan dikenakan terhadap pengeluar keluli China, Bengang Steel Plates Co Ltd kini sebanyak 42.08 peratus, manakala BX Steel POSCO Cold Rolled Sheet Co Ltd (35.89 peratus), Jiangsu Shagang International Trade Co Ltd (42.08 peratus) dan pengeluar/pengeksport lain (42.08 peratus).

Bagi pengeluar keluli Korea Selatan, ia adalah sifar bagi POSCO , Hyundai Steel Company (11.55 peratus), dan pengeluar lain (21.64 peratus).

Bagi pengeluar keluli Vietnam, POSCO Vietnam Co Ltd (2.0 peratus), China Steel Sumikin Viet Nam Joint Stock Company (13.68 peratus) dan lain-lain (13.68 peratus).

Pada 9 Nov, 2018, kerajaan memulakan penyiasatan kajian semula pentadbiran berkenaan duti anti-lambakan yang telah dikenakan ke atas pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam

Penyiasatan kajian semula pendtabiran itu dibuat berdasarkan petisyen difailkan CSC Steel Sdn Bhd yang mewakili industri domestik yang mengeluarkan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk.

Pempetisyen mendakwa margin lambakan telah berubah secara substantif bagi import dagangan subjek oleh pengeluar atau pengeksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam sejak pengenaan duti anti-lambakan ke atas pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk pada 24 Mei 2016.

– BERNAMA


Pengarang :