SELANGOR

MPAJ kumpul 35 kg sehari lebihan makanan bazar Ramadan

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 16 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya mengumpulkan hampir 35 kilogram (kg) makanan lebihan di bazar Ramadan Pandan Indah, tahun ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, bagaimanapun jumlah itu didapati berkurangan berbanding tahun lalu yang mencecah sehingga 100 kg sehari.

“Apabila jumlah kutipan lebihan makanan ini semakin kurang, ia adalah kesan positif kerana berkemungkinan peniaga telah merancang untuk mengurangkan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Bazar Ramadan Mampan MPAJ 2019 di Taman Melur, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha.

Pada program yang sama, MPAJ turut melancarkan Program MYsaveFOOD@Ramadan MPAJ 2019 yang bertujuan mencegah pembaziran sumber makanan yang masih elok di bazar Ramadan dari dibuang ke tong sampah.

Abd Hamid berkata, program itu dijalankan sejak 2018 dan berjaya mengumpulkan sebanyak 770.1 kg lebihan makanan yang masih elok sepanjang Ramadan.

Katanya, makanan itu kemudiannya disumbangkan kepada masyarakat yang lebih memerlukan di sekitar Ampang.

“Pada tahun ini, MPAJ merasakan program berkenaan masih relevan diteruskan dan kerana itulah kita meletakkan satu lagi tapak iaitu di Kompleks Muhibbah dan Bukit Indah.

“Sewajarnya semua bazar Ramadan melaksanakan program ini, namun rangka kerja lebih efisyen perlu dilakukan lebih teliti kerana bukan mudah untuk mendapat lebih ramai sukarelawan,” katanya.

 


Pengarang :