oznor
SELANGOR

MPK bawa ahli majlis lawat pusat kawalan CCTV

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KLANG, 29 MEI: Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengadakan lawatan ringkas di pusat kawalan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) MPK di Bangunan Sultan Alam Shah, hari ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, lawatan terbabit diadakan sebagai pendedahan kepada seluruh ahli majlis yang baharu di lantik sejak tahun lalu.

Katanya, secara keseluruhan MPK mempunyai 76 CCTV di sekitar daerah Klang, 60 unit adalah milik Kerajaan Negeri manakala 16 lagi dibekalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Semua CCTV terbabit meliputi jalan raya terutama di kawasan persimpangan, kawasan sesak laluan dan pusat perniagaan serta pusat komersil.

“Ia juga digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melihat kejadian tertentu seperti kemalangan dan ragut.

“Dahulu ketika banjir di Klang, kita pantau sekitar pantai di Pelabuhan Klang bagi melihat kawasan banjir dan air pasang besar mengunakan CCTV ini,”katanya ketika lawatan ringkas terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat kawalan yang sudah beroperasi dua tahun itu turut mengendalikan 54 CCTV yang dipasang di seluruh pejabat MPK.

“Pusat kawalan ini dikendalikan oleh pegawai khas memantau setiap hari dan jika ada perkara berlaku, mereka akan hubungi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan serta merta,” katanya.

Lawatan ringkas selepas Mesyuarat Penuh MPK itu disertai lebih 20 anggota ahli majlis MPK.


Pengarang :