NASIONAL

MPS nafi jadi tukang masak, tangkap orang ponteng puasa

SHAH ALAM, 23 MEI: Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menafikan penguatkuasanya menyamar untuk memantau orang Islam yang makan di siang hari di premis makanan.

Menyangkal laporan The New Straits Times hari ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menyatakan Yang Dipertuanya Mohd Masni Wakiman tidak pernah membuat kenyataan tersebut.

“Pihak MPS juga menafikan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan akhbar-akhbar tersebut yang kononnya oleh Yang Dipertua sendiri.

“Pihak MPS tidak pernah melakukan operasi penyamaran untuk mengintip atau menangkap individu Islam yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan sebagai mana yang dinyatakan.

“Perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa pihak MPS,” kata PBT berkenaan dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

“Untuk makluman juga, dalam syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan, tiada larangan waktu tertentu untuk peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dalam bulan mulia ini.”

Portal tersebut melaporkan penguatkuasa MPS menyamar sebagai tukang masak dan pelayan bagi menangkap orang Islam yang ponteng puasa secara terbuka di kawasan awam.

Menurut laporan itu, terdapat 185 gerai berlesen dan kedai makan bawah seliaan MPS di 15 lokasi, termasuk Bandar Putra IOI, Segamat Baru, Jalan Segamat-Muar dan Bandar Utama.

MPS dikatakan mempunyai 32 penguatkuasa, termasuk dua yang mahir membuat roti canai, menyediakan teh dan memasak mi goreng mamak.

Mereka dilapor menyamar sebagai tukang masak atau pelayan untuk menangkap mereka yang ponteng puasa.

“Kami memilih pegawai penguatkuasa yang berkulit gelap untuk kerja penyamaran itu.

“Mereka dilihat seperti pekerja sebenar apabila bercakap dengan lenggok bahasa Indonesia dan bahasa Pakistan, jadi pelanggan percaya mereka tukang masak, penghidang makanan dan pelayan sebenar,” Mohd Masni dipetik sebagai berkata.


Pengarang :