SELANGOR

MPSJ teruskan Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 10 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan meneruskan Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Perlesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, anugerah itu bertujuan menggalakkan peniaga menjayakan konsep Bazar Ramadan Mampan MPSJ.

Katanya, seramai 15 peniaga contoh bazar Ramadan akan dipilih dan mereka terplih akan menerima pelbagai inisiatif menarik.

“Mereka akan menerima antaranya hadiah insentif MPSJ RM300, pengecualian bayaran permit Bazar Ramadan untuk tahun depan, sijil penghargaan dan hamper barangan daripada penaja.

“Menariknya, peniaga terpilih itu nanti berpeluang memilih mana-mana petak berniaga di sebarang lokasi Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Pelancaran Kempen Bebas Penyedut Minuman Plastik di Majlis Kunjungan Mesra Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2019 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara, Jalan BK 5 A/1, di sini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.

Sementara itu, Muhammad Azli berkata, pemilihan pemenang akan dinilai daripada segi pematuhan aspek pelesenan, kesihatan, kebersihan, keceriaan atau kreativiti gerai, bebas dari tindakan penguatkuasaan serta inisiatif hijau yang dilaksanakan peniaga.

Katanya, sehingga kini sambutan peniaga untuk merebut anugerah terbabit amat memberangsangkan apabila terdapat ramai antara mereka berusaha menghias gerai dan mematuhi peraturan ditetapkan MPSJ.

“Selain itu, kita berharap peniaga tetap menjaga kebersihan dan tidak membiarkan sampah dibuang merata-rata sekali gus mengekalkan keindahan bazar Ramadan,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :