NASIONAL

MSU bantu golongan kurang bernasib baik sepanjang Ramadan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 17 MEI: Bagi mengimarahkan Ramadan, Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) turut merangka beberapa aktiviti sepanjang bulan itu serta membantu golongan kurang bernasib baik.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pelaksanaan aktiviti sejak awal Ramadan berbentuk iftar dan terawih baru-baru ini berjaya membabitkan 1,000 pelajar sekali gus meningkatkan kualiti sahsiah pelajar dan kakitangan MSU.

Katanya, menerusi aktiviti seperti program Kasih Ramadan, MSU My Sahur dan Sinar Ramadan, ia mampu menerapkan nilai pembangunan kemahiran dan keusahawanan.

“Pada masa sama, dana yang dikumpulkan Yayasan MSU serta kerjasama Pusat Pengundang Zakat disalurkan juga sebagai sumbangan Ramadan dan Aidilfitri bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik.

“Tahun ini, kami akan menyumbangkan kepada 6,688 pelajar sekolah menengah dan matrikulasi di seluruh negara serta 1,060 pelajar MSU juga anak yatim.

“Sementara itu, program iftar bersama jabatan kerajaan dan beberapa agensi khususnya di Selangor seperti Hospital Sungai Buloh serta Shah Alam adalah salah satu tradisi komuniti ‘engagement’ MSU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Canselor MSU Dan Pengagihan Zakat Anak Yatim, di Dewan Canselor MSU, di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah merangkap Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut berangkat mengiringi baginda, Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, MSU bakal menyalurkan sumbangan khas kepada Palestine Friendship Scholarship bernilai RM1.1 juta yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya akan datang.

“Program yang dilaksanakan sepanjang tahun bersempena Ramadan ini adalah usaha MSU bagi menyantuni mereka serta mendekati masyarakat setempat,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :