BERITA UTAMASELANGOR

Mum-nicure Srikandi KEADILAN zahir penghargaan buat kaum ibu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 13 MEI: Seramai 30 ibu terpilih di sekitar Petaling Jaya diraikan dalam Program Mum-nicure sempena sambutan Hari Ibu anjuran Srikandi KEADILAN Pusat di Dewan Dato’ Hormat di sini, semalam.

Ketua Srikandinya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, Mum-nicure, gabungan perkataan Mum iaitu ibu, dan Manicure bermaksud tatarias kuku adalah aktiviti bagi menzahirkan penghargaan terhadap kaum ibu di atas segala pengorbanan dan penat lelah mereka menjaga keluarga masing-masing.

“Pengorbanan kaum ibu memastikan keluarga masing-masing terjaga, sehinggakan ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai masa untuk memanjakan diri dengan perkara seperti ini.

“Sebagai tanda terima kasih di atas kesudian peserta menyertai program ini, mereka turut dihadiahkan bunga ros kerana ia adalah bunga yang sangat sinonim dengan kaum wanita.

“Malah, salah seorang ibu yang menyertai program ini berkata dalam kiriman Facebook bahawa seumur hidup, ini pertama kali beliau dapat bunga,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan komitmen mengadakan program seumpama itu di seluruh Malaysia dibantu setiap cabang Srikandi Keadilan Negeri untuk lebih mengeratkan silaturahim bersama rakyat, terutama kaum wanita.

“Di antara program bakal dijalankan adalah iftar bersama anak yatim, ibu tunggal dan asnaf bersempena Ramadan.

“Kita juga akan mengadakan program rundingan imej dan sesi sembang santai bersama tokoh pimpinan wanita tempatan bertujuan meningkatkan keyakinan diri selain mengalakkan kaum wanita untuk menceburkan diri dalam bidang dimonopoli kaum lelaki,” katanya.

 


Pengarang :