BERITA UTAMASELANGOR

Anda kini boleh solat Jumaat di bumbung KLIA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Penumpang dan pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh menunaikan solat Jumaat di ‘rooftop’ (kawasan atas bumbung) apabila musolla di kawasan parkir blok B beroperasi secara rasmi, sejak 10 Mei lalu.

Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) berkongsi detik kali pertama solat Jumaat dilangsungkan, di situ selepas mendapat persetujuan daripada Pejabat Agama Daerah Sepang.

“Kami amat gembira dengan sambutan menggalakkan sempena pembukaan musolla untuk solat Jumaat di kawasan parkir blok B, Lapangan Terbang KL tengah hari semalam (10 Mei).

“Pembukaan musolla ini salah satu inisiatif Malaysia Airports untuk memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat terutama warga kerja dan penumpang.

“Haa, musolla pun dah dekat, jangan sia-siakan peluang untuk mengumpul saham akhirat kita di bulan yang mulia ini ya!” katanya di Facebook rasmi MAHB.

Musolla yang mampu memuatkan hampir 1,000 jemaah dalam satu-satu masa itu menyediakan lebih 50 unit paip bagi pengambilan wuduk, pendingin hawa, kipas gergasi dan kipas berwap sejuk di semua sudut.

SelangorKini sebelum ini melaporkan MAHB menafikan ruang solat itu sedia digunakan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat bermula 5 April 2019 susulan penyebaran beberapa keping gambar menerusi aplikasi WhatsApp, pada 3 April lalu.

Kredit Foto: Facebook Malaysia Airport


Pengarang :