GAZIANTEP (Turki), 25 Mei — Seramai 2,000 pelarian Syria yang hadir pada majlis iftar untuk anak yatim dan ibu tunggal anjuran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) di Taman Rekreasi Gaziantep semalam. Angka itu melebihi sasaran awal 1,500 anak yatim dan ibu tunggal bagi majlis itu yang dianjurkan secara tahunan oleh MVM dan GPM melalui misi Ramadan di Turki. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SELANGOR

MVM, GPM rai 2,000 anak yatim, ibu tunggal Syria

GAZIANTEP, 25 MEI: Simpati dengan pelarian Syria yang terjejas ekoran konflik perang saudara berterusan, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia menjalankan program kemanusiaan sempena Ramadan untuk pelarian Syria yang berlindung di Turki dan di wilayah bergolak itu.

Hari pertama misi Ramadan MVM-GPM dengan kerjasama Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) dan NGO tempatan, Pertubuhan Bonyan, bermula dengan majlis iftar membabitkan 2,000 anak yatim serta ibu tunggal pelarian Syria di sekitar Gaziantep.

Majlis turut dimeriahkan dengan aktiviti riadah untuk kanak-kanak pelarian Syria di Taman Rekreasi Gaziantep, di sini.

Presiden MVM, Muhammad Jantan berkata, misi kemanusiaan itu dijalankan dengan sokongan berterusan rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah ini adalah kali ketiga MVM bekerjasama dengan GPM dan MLLFS, selain kami berikan bantuan dengan 90 peratus (program) dalam Malaysia, kami melihat atas dasar tanggungjawab dan kemanusiaan untuk membantu saudara kita di Timur Tengah,” katanya kepada Bernama semalam.

Pasukan enam sukarelawan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin tiba di Gaziantep 5 petang waktu Malaysia semalam dan program iftar itu membabitkan kerjasama Majlis Perbandaran Gaziantep.

Turki kini menjadi tempat perlindungan bagi lebih 3.6 juta pelarian Syria yang terjejas akibat konflik perang saudara di negara itu sejak Mac 2011, Gaziantep antara empat wilayah dengan populasi pelarian tertinggi di Turki.

Konflik di Syria masuk tahun ke-9 tahun ini, lebih 11 juta warganya terjejas, termasuk lebih 5.6 juta menjadi pelarian di negara asing dengan majoritinya di Turki, Jordan dan Lubnan.

GAZIANTEP (Turki), 25 Mei — Sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) membantu menyediakan juadah berbuka di Taman Rekreasi Gaziantep petang semalam.
Majlis iftar bersama 2,000 anak yatim dan ibu tunggal tajaan rakyat Malaysia itu adalah program pertama bagi misi bantuan Ramadan MVM-GPM yang menyasarkan menyediakan 20,000 pek iftar dan bantuan makanan sehingga Khamis depan.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mengulas mengenai majlis berbuka puasa itu, Ahmad Fahmi berkata pihaknya menyasarkan untuk menyantuni 20,000 pelarian Syria di Gaziantep, Kilis dan Sanliurfa di Turki serta pelarian Syria di dalam wilayah bergolak itu.

Wartawan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama yang menyertai misi kemanusiaan itu melihat majlis iftar dijalankan seperti keraian dengan anak-anak pelarian dan ibu tunggal diraikan dengan aktiviti beriadah sebelum berbuka puasa beramai-ramai di taman rekreasi terbabit.

Pelarian Syria dari Halab (Syria) dan ibu tunggal, Fatma Muraib bersama tiga anaknya, amat berterima kasih dengan sumbangan rakyat Malaysia menaja majlis berbuka puasa itu.

“Semoga Allah membalas jasa kalian,” kata Fatma yang dibawa ke majlis itu dengan bas khas.

Individu atau syarikat korporat yang ingin menyumbang untuk misi Ramadan atau mengetahui maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook Muslim Volunteer Malaysia, GPM dan MLLFS.

-BERNAMA

 


Pengarang :