NASIONAL

MYSaveFood mohon kerjasama syarikat penghantaran makanan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 6 MEI: Syarikat penghantaran makanan dimohon untuk turut mengambil bahagian dalam menjayakan Projek Malaysia Save Food (MYSaveFood) sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Pertubuhan Pemuda GEMA Kuala Lumpur, Muhammad Zulhimi Bachok berkata, antara masalah utama yang dihadapi ketika menjalankan program itu adalah ketika proses pengagihan makanan.

“Sangat menarik jika dapat wujudkan pasukan bagi menyelesaikan masalah ini, sebagai contoh kumpulkan semua pihak syarikat swasta yang memiliki penunggang motosikal dan menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan secara jadual.

“Contohnya, Foodpanda, GrabFood, Lalamove, Honestbee dan mana-mana pihak yang mampu beri kerjasama.

“Mereka mempunyai kemudahan beg khas mengisi makanan bagi mengelakkan makanan mudah rosak dan juga memiliki kemahiran menghantar makanan dengan menggunakan motosikal yang ternyata mampu mengurangkan masa bagi proses logistik,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga sedang mencari penaja bagi menyediakan bantuan pek pembungkusan makanan mesra alam sekitar, sebagai menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan usaha menghapuskan plastik.

Zulhimi berkata, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai senarai asnaf, anak yatim dan individu memerlukan supaya menghubungi mereka di talian 019-3587 564 (zulhimi).

 

MYSaveFood Ramadan adalah anjuran GEMA dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SW Corp) dan Majlis Perbadanan Ampang Jaya (MPAJ).

Antara usaha program itu adalah mengumpulkan makanan lebihan daripada peniaga bazar, kemudian mengumpulkannya lalu mengagihkan kepada pihak yang memerlukan.

Pada Ramadan 2018, program terbabit berjaya menyelamatkan kira-kira 3,400 Kilogram (kg) makanan, manakala sebanyak 2,500 kg pada 2017.

Mereka berminat menjadi sukarelawan boleh mendaftar di link bit.ly/msframadan2019.


Pengarang :