NASIONAL

Nafas sudah kemuka pelan perniagaan kepada MOA

JOHOR BAHRU, 27 MEI: Kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah mengemukakan pelan perniagaannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bulan lepas, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Katanya, pelan tersebut meliputi empat bidang iaitu padi, ternakan, agro makanan dan perikanan.

“Saya telah melihatnya dan mengkajinya, dan saya beri keyakinan sepenuhnya kepada kepimpinan Nafas yang baharu, untuk mereka membuat pelbagai inisiatif.

“Kementerian akan membantu dari aspek kepakaran seperti melibatkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Kasih Peladang Parlimen Pulai, ketika diminta mengulas sejauh mana peranan Nafas ketika ini.

Menurutnya, pelan perniagaan itu juga akan dihadam dan direalisasikan dalam beberapa insiatif dan strategi, yang sekali gus dapat meningkatkan sektor makanan negara pada masa akan datang.

Namun menurutnya apa yang penting, Nafas yang baru dipulihkan dengan pembentukan kepimpinan baharu itu, dapat menjadi ‘payung’ kepada hampir 900,000 peladang di seluruh negara.

Katanya proses penstrukturan kembali pertubuhan itu sedang berjalan, sejak Nafas bebas daripada penggantungan, 15 Januari lepas.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga dua nelayan, yang ditemukan meninggal dunia selepas hilang di perairan Pulau Pisang dekat Pontian, dan kementerian akan meneliti bantuan kepada keluarga kedua-dua mangsa.

Khamis lepas, Mohd Yusni Mohd Yusof, 43, dan sepupunya Mohd Khair Ismail, 38, dilaporkan hilang selepas menjaring ikan di perairan Pulau Pisang.

Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya menemukan mayat kedua-dua mereka terapung di kedudukan kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat dan kira-kira 1 batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut, dekat Pontian, pagi tadi. – BERNAMA


Pengarang :