BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tandatangan surat pinjaman RM2 bilion KWAP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah menandatangani surat jaminan Kerajaan Malaysia ke atas pembiayaan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd berjumlah RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun.

Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP), Amirul Imran Ahmat, 39, ketika membacakan penyataan saksinya berkata surat berkenaan telah ditandatangani Najib, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, pada 27 Mac 2012.

Amirul Imran, yang menyambung keterangannya hari ini berkata KWAP ada menerima surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 28 Mac 2012 yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kepada SRC selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012.

“Surat ini turut memohon KWAP untuk mempertimbangkan agar pengeluaran wang pinjaman dapat dilakukan terlebih dahulu dan kementerian Kewangan memberikan akujanji untuk menyerahkan jaminan Kerajaan selewat-lewatnya 10 hari,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan hari ke-13 kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Ishak: Surat jaminan itu untuk apa?

Amirul Imran: Surat dari Kementerian Kewangan bertujuan untuk menyatakan persetujuan Kerajaan memberikan jaminan kepada SRC berhubung pinjaman RM2 bilion.

Ishak: Ada atau tidak kebiasaannya orang pinjam duit dan duit keluar dulu tetapi surat jaminan dikeluarkan kemudian?

Amirul Imran: Tidak pernah berlaku.

Ishak: Adakah ini kali pertama (kejadian ini) berlaku?

Amirul Imran: Ya.

Amirul Imran, yang kini Naib Presiden Pinjaman Tetap SME Bank berkata KWAP kemudian telah menerima “Form of Utilization Notice” iaitu surat permohonan pengeluaran wang pinjaman oleh SRC kepada KWAP yang menyatakan butiran akaun bank SRC di AmIslamic Bank Berhad dengan nombor akaun 211-202-201065-0.

“Pada 28 Mac 2012, saya dimaklumkan oleh Amirah Muhamad Nor daripada Investment Support Services Department KWAP bahawa wang pinjaman tambahan berjumlah RM2 bilion telah dikeluarkan oleh KWAP dan telah dimasukkan ke dalam akaun SRC,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata KWAP meluluskan pinjaman itu melalui keputusan Mesyuarat Panel Pelaburan selepas Kertas Panel Pelaburan dibentangkan ketuanya, Ahmad Norhisham Hassan pada Mac 2012.

Amirul Imran turut menjelaskan bahawa pinjaman tambahan RM2 bilion itu adalah untuk membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja dan bukan aktiviti pelaburan am.

“Wang pinjaman daripada KWAP tidak boleh digunakan untuk tujuan ‘corporate social responsibility’ (tanggungjawab sosial korporat) kerana kerja-kerja sosial, amal dan politik tidak dinyatakan dalam perjanjian pinjaman.

“Wang pinjaman RM2 bilion itu juga tidak boleh digunakan untuk tujuan pelaburan dalam ‘fund management’ atau di ‘asset management company’ (syarikat pengurusan dana dan pengurusan aset) dalam atau luar negara dengan bertujuan untuk mengambil keuntungan,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pukul 1.50 petang.

– BERNAMA


Pengarang :