NASIONAL

Nelayan diugut diminta buat laporan polis

 

ISKANDAR PUTERI, 20 Mei: Nelayan yang mendakwa menerima ugutan dan sengaja ditahan pihak berkuasa setelah mengemukakan bukti pencerobohan bot pukat tunda haram, diminta membuat laporan polis bagi memastikan tindakan lanjut dapat diambil.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai dakwaan nelayan-nelayan di kawasan Muar itu.

“Itu saya perlu lihat dengan lebih teliti dan lihat laporan polis. Kalau betul dia diugut penguatkuasa, saya nasihatkan nelayan buat laporan polis, lepas tu barulah kita boleh bertindak,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tuzra Marketing, di sini hari ini.

Salahuddin berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang tindakan berdasarkan “cakap-cakap orang” sebaliknya memerlukan laporan yang lengkap.

“(Bagaimanapun), perkara itu telah dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan saya ambil maklum,” kata beliau.

Semalam, Syed Saddiq dilaporkan berkata nelayan di kawasan Muar diminta menyalurkan maklumat serta bukti kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan mereka diugut dan sengaja ditahan pihak berkuasa laut setelah mengemukakan bukti mengenai pencerobohan bot pukat tunda haram. -BERNAMA

 


Pengarang :