SELANGOR

Nelayan teruja lawatan Tengku Permaisuri Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 1 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli melawat dan melihat aktiviti pendaratan ikan di Jeti Ah Hee, Kampung Bagan, yang menceriakan nelayan di kawasan itu.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee tidak menyangka Tengku Permaisuri Selangor sudi melihat aktiviti pendaratan ikan yang menjadi rutin harian nelayan mencari pendapatan.

Malah, katanya, mereka sungguh teruja dengan keberangkatan baginda itu.

“Kami sangat gembira apabila Tengku sudi ke tempat kami bagi melihat aktiviti nelayan.

“Di sini kami berpeluang menceritakan kepada Tengku bagaimana gerak kerja harian yang menjadi rutin nelayan di sini selepas menangkap ikan,” katanya kepada SelangorKini.

Tian Hee berkata, pihaknya mengalukan kedatangan baginda sambil berharap ia bukan kali terakhir.

“Saya sangat berharap Tengku berkenan mengadakan lawatan ke sini lagi,” katanya.

Terdahulu, baginda meluangkan masa kira-kira 10 minit melihat pelbagai jenis ikan antaranya siakap, tenggiri, kembong, bawal, jenahak dan sebagainya di bawa ke jeti.

Baginda diiringi Speaker Dewan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Selain itu, baginda turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar dengan penduduk sekitar.

Lawatan ke jeti itu adalah antara program dalam lawatan mesra baginda ke Sekinchan.

Lawatan selama satu hari itu bertujuan bermesra bersama rakyat di daerah ini sambil melawat beberapa tempat menarik di sini.

Antara kawasan lain yang turut dilawati adalah kedai barangan antik, Ah Ma House; kilang padi PLS Marketing Sdn Bhd dan Wisma Masri, Parit 7, perusahaan Industri Kecil Tempatan yang cukup terkenal menjual kerepek serta pelbagai jenis kuih.

Baginda dan rombongan meneruskan lawatan mencemar duli ke Kilang Khind, kilang menghasil dan membekalkan barangan eletrik ke seluruh Malaysia.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 


Pengarang :