EKONOMINASIONAL

Niaga hadapan emas dijangka tidak banyak berubah minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tidak banyak berubah minggu depan, akibat kekurangan petunjuk baharu dalam pasaran, kata peniaga.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Lee Pei Wan memberitahu Bernama, melainkan terdapat data terkini daripada Amerika Syarikat untuk merangsang pasaran, pedagang dijangka kekal berhati-hati terhadap hala tuju pelaburan pada masa depan.

Di peringkat tempatan, seorang lagi peniaga berkata pedagang masih menanti keputusan mengenai kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual diumumkan Selasa ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran niaga hadapan emas juga bermula dengan momentum positif, tetapi menjadi tidak berubah pada akhir minggu ini.

Pergerakan pasaran niaga hadapan emas turut dipengaruhi oleh prestasi Comex, pergerakan ringgit berbanding dolar US, selain harga minyak mentah.

Berasaskan Jumaat kepada Jumaat, Mei 2019 dan Julai 2019 masing-masing jatuh dua mata kepada RM169.70 segram dan RM169.90 segram, manakala Jun 2019 merosot empat mata kepada RM169.70 segram dan Ogos 2019 berkurangan lapan mata kepada RM170.30 segram.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada satu lot bernilai RM17,030 berbanding dua lot bernilai RM34,040 minggu lepas, manakala kepentingan terbuka turun kepada 28 kontrak daripada 34 kontrak sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :