NASIONAL

Noh Hujan sertai Misi Dapur Kaseh Buat Kemboja

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPANG, 9 MEI: Vokalis Kumpulan Hujan, Mohammad Noh Salleh bersama tujuh sukarelawan kini berada di Kemboja, bagi Misi Dapur Kaseh Buat Kemboja Edisi Ramadan.

Program anjuran Malaysia Humanity For The People Hero (MY HOPE HERO) itu bertujuan memberi bantuan Ramadan kepada masyarakat Islam, di sana.

Suami kepada selebriti Mizz Nina yang turut dikenali sebagai aktivis kemanusiaan itu akan berada di Phnom Penh selama empat hari, bermula 8 Mei sehingga 11 Mei ini.

Antara aktivti yang akan dijalankan adalah memasak iftar di dapur umum bersama penduduk kampung, agihan barangan pek Ramadan untuk 100 buah keluarga di Kampung Prek Pra dan iftar bersama pelajar tahfiz.

Selain itu, bagi mengimarahkan lagi kemuliaan Ramadan, turut dianjurkan solat tarawih dan tadarus al-Quran.

Di akhir aktiviti, pasukan itu akan melakukan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja bagi makluman pergerakan dan aktiviti yang dilakukan.

Ini adalah misi kelapan dijalankan dan sukarelawan Malaysia bersatu hati membantu mereka yang memerlukan tanpa prejudis kepada agama, bangsa mahupun negara.

Program itu turut mendapat kerjasama Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE), Volunteering Trip Malaysia (VTM) dan Restoran Olive by Ash-Sham.


Pengarang :