SELANGOR

Norhayati tidak patah semangat, tekad terus berkhidmat

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 18 MEI: Sokongan moral yang diberikan pihak pentadbiran dan rakan setugas di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menaikkan semula semangat Norhayati Ahmad untuk terus berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan.

Walaupun pada awalnya berhasrat untuk berundur daripada jawatan yang dipertanggungjawabkan sejak dua bulan lalu, beliau akhirnya mengubah pendirian berkenaan.

“Ancaman kedua lebih menakutkan. Saya dapat makluman pemangku Yang Dipertua, Dato’ Dr Juhari Ahmad mengarahkan kawalan penguat kuasa di rumah saya sehingga semalam.

“Kami duduk tiga beranak di sini dan turut saya risaukan adalah keselamatan jiran takut mereka terkena tempias,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Muhibbah, Rawang.

Dua kejadian ancaman yang berlaku pada 28 April dan 13 Mei lalu adalah yang pertama dihadapinya sejak tinggal di sini 13 tahun lalu.

Kejadian pertama adalah balingan cat merah yang mengakibatkan dua buah kereta miliknya rosak, sementara insiden kedua lebih menakutkan apabila bumbung rumahnya dilempar dua molotov cocktail.

Isteri kepada Muhamad Norsam Md Arof, 42 dan ibu dua orang anak berusia 40 tahun itu mengakui pada awal kejadian emosinya terkesan lebih-lebih lagi memikirkan keselamatan ahli keluarga.

Beliau kini mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar daripada kawasan rumah walaupun sudah dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau keadaan setempat.

Sebelum ini, Norhayati berkhidmat di Jabatan Audit Dalam MPS ssebelum dinaikkan pangkat selaku Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan.

 


Pengarang :