Selangorkini
NASIONAL

Op Bersepadu Warga Afrika: Polis tahan 13 warga asing

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Seramai 13 warga asing termasuk dua wanita ditahan di sekitar ibu negara menerusi Op Bersepadu Warga Afrika yang bermula Jumaat malam hingga awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 28 warga asing diperiksa dalam operasi lebih enam jam bermula 11 malam Jumaat hingga pagi semalam di lokasi seperti Taman Len Seng, Jalan Changkat dan Metro Prima, Kepong.

Katanya daripada jumlah itu, tujuh lelaki dan dua wanita dari Afrika, tiga lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Nepal ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Antara kesalahan dilakukan termasuk tinggal tanpa pas atau permit yang sah. Polis memandang serius kebanjiran warga Afrika yang dilihat menyumbang ke arah kejadian jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ni.

Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Cheras untuk tindakan lanjut.

“Operasi bagi membanteras kebanjiran warga Afrika akan diteruskan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kebanjiran warga Afrika boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-BERNAMA


Pengarang :