SELANGOR

Operasi besar-besaran terhadap pendatang asing – KP Selangor

KUALA LUMPUR, 27: Polis akan melaksanakan operasi besar-besaran terhadap kebanjiran warga Afrika terutama Nigeria di negeri Selangor yang dilihat mengundang kebimbangan orang awam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata operasi secara berterusan itu akan dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti diduduki warga asing itu.

“Kami percaya ada antara warga Afrika ini yang memiliki dokumen lengkap. Jika ada, kami lepaskan tapi mana-mana yang langgar syarat-syarat pas lawatan atau pas pelajar atau telah tamat tempoh, akan diambil tindakan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara bekas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya yang baharu Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, dekat sini.

Ditanya sama ada terdapat warga asing itu yang terlibat dengan aktiviti jenayah seperti Afican Scam atau Macau Scam, Noor Azam berkata: “Ada itu ada. Itu memang tidak dinafikan. Tapi kami anggap semua sama sahaja… yang mana buat salah, kami akan ambil tindakan sewajarnya”. -BERNAMA


Pengarang :