NASIONAL

Ops SAR: Dua mayat dipercayai nelayan hilang ditemui

JOHOR BAHRU, 26 MEI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilapor hilang di perairan Pulau Pisang, dekat Pontian, menemukan dua mayat dipercayai kedua-dua mereka, hari ini.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, mayat pertama ditemukan terapung di kedudukan kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat, pada 8.15 pagi tadi manakala mayat kedua ditemui terapung kira-kira 1 batu nautika barat daya Sungai Tampok, Benut, dekat Pontian, pada 9.50 pagi.

“Mayat pertama ditemukan pasukan SAR dari Zon Maritim Batu Pahat lebih kurang 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

“Mayat kedua pula ditemukan nelayan tempatan yang turut serta dalam pencarian, lebih kurang tujuh batu nautika barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” kata Aminuddin menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat pertama dihantar ke Hospital Batu Pahat manakala mayat kedua pula ke Hospital Pontian bagi proses pengecaman serta pengesahan oleh pihak keluarga masing-masing.

Khamis lepas, kedua-kedua nelayan, Mohd Yusni Mohd Yusof, 43, dan sepupunya, Mohd Khair Ismail, 38, pergi ke perairan Pulau Pisang tersebut untuk menjaring ikan danj tidak pulang semula ke rumah masing-masing.

Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis keesokan harinya, sebelum operasi SAR digerakkan melibatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, Pasukan Polis Marin dan nelayan setempat.

-BERNAMA


Pengarang :