Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Padah buat onar dalam penerbangan, warga Lithuania didenda RM12,000

SEPANG, 23 Mei: Seorang warga Lithuania yang dalam rancangan bercuti selama tiga minggu di negara ini didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang di sini hari ini setelah membuat onar ketika dalam penerbangan.

Petronis Augustinas, 33, yang bekerja sebagai konsultan pembinaan di London mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah ke atas seorang kru kabin penerbangan Oman Air WY821 dari Muscat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 Mei lepas.

Augustinas turut mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu menggunakan kata-kata kesat atau menghina kru kabin berkenaan pada masa dan di tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibaca kepadanya dalam bahasa Inggeris. Timbalan Pendakwa Raya Nasharina Nazlan meminta hukuman denda dikenakan sebagai satu pengajaran.

Augustinas yang diwakili peguam Zaflee Pakwanteh dalam rayuannya berkata, dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku ketika kejadian kerana terlalu mabuk setelah mengambil minuman keras bermula dari penerbangan dari London ke Muscat lagi.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau enam bulan penjara jika gagal bayar.

Augustinas membayar denda tersebut. -BERNAMA


Pengarang :