BERITA UTAMASELANGOR

Paip pecah: Kerja baik pulih ambil masa dua hari – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 MEI: Tempoh kerja baik pulih paip pecah di sini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Namun, katanya ia bukanlah jangka masa yang tepat ekoran pihaknya masih belum menerima laporan penuh susulan dari kejadian berkenaan.

“Buat masa ini Air Selangor sedang membuang semua air yang bertakung dan setelah itu kita baru dapat mengenalpasti punca sebenar kerosakan berkenaan.

“Sementara itu Jabatan Kerja Raya pula memaklumkan mereka akan mengambil masa diantara lima hingga ke enam hari untuk kerja baik pulih jalan, insyaAllah kita akan selesaikannya sebelum Aidilfitri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian paip pecah yang terletak berhadapan Masjid Al-Amaniah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kejadian paip pecah itu membabitkan paip berukuran 525 milimeter (mm) dan 600 mm.

“Sehingga kini 23 kawasan didapati terkesan akibat kejadian ini dan turut melibatkan 5,000 pengguna.

“Oleh itu, saya juga sudah mengarahkan bekalan air dihantar ke kawasan terjejas, dan ahli majlis kawasan juga akan membuat pemantauan,” katanya.

Kejadian paip pecah yang berlaku pada jam 10 pagi itu berlaku akibat sebuah lori yang tenggelam di sebuah jalan raya mendap.

Disebabkan tekanan, paip air bawah tanah meletup dan menyebabkan limpahan air berlarutan sehingga jam 1 petang tadi.

 


Pengarang :