BERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN buktikan misi jatuhkan BN tidak mustahil

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 9 MEI : Misi bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan ketuanya, Datuk Seri Najib Tun Razak awalnya dianggap mustahil oleh semua pihak, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hampir semua termasuk pakar politik, ahli akademik, kolumnis surat khabar dan ramai lagi yang tidak memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Ini jelas, pandangan mereka tidak seiring dengan rakyat yang awal-awal lagi sudah sedar dan tidak boleh menerima lagi kepimpinan yang digelar kleptokrat atau pencuri wang negara oleh dunia.

“Tanpa takut kepada ugutan, tekanan dan rasuah pilihan raya, rakyat menolak Kerajaan BN dan memberi mandat yang besar kepada PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, menteri besar negeri serta lebih 2,000 hadirin.

Tun Mahathir berkata, dengan mandat diterima, Kerajaan baharu PAKATAN memulakan langkah untuk memulih semula negara tercinta.

“Antara langkah pertama yang diambil ialah menyiasat skandal 1MDB dan berusaha untuk memperoleh kembali wang yang dicuri.

“Kita juga menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang menyalahguna kuasa, melesapkan duit Kerajaan, dan menekan rakyat,” katanya.


Pengarang :