Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
NASIONAL

PAKATAN perlu perjelas kepentingan kaum jika ingin menang PRU15

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu sentiasa menjelaskan pendirian tentang kepentingan semua kaum jika ingin terus mendapat sokongan dan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pemimpin PAKATAN termasuk daripada Bersatu juga sentiasa memerlukan sokongan Bumiputera dan perlu memperjuangkan kepentingan mereka namun bukannya bersifat rasis atau perkauman seperti didakwa sesetengah pihak.

“Dalam parti kita (PAKATAN) ramai juga cakap pasal kaum, cakap pasal kepentingan masing-masing. India cakap pasal India, Cina cakap pasal Cina, Melayu cakap pasal Melayu, Iban cakap pasal Iban, Kadazan cakap pasal Kadazan. Tapi kita semua rakyat Malaysia. Kita perlu pastikan kita dapatkan sokongan daripada semua Bumiputera.

“Kalau kita tidak jelaskan pendirian kita tentang kaum saya rasa kita kalah dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Pengerusi Bersatu itu dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) hari ini.

Dr Mahathir mengulas mengenai tindakan beberapa pihak yang mahu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dipecat berikutan keputusan Kabinet baru-baru ini yang bersetuju mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera bagi matrikulasi.

Maszlee kemudian berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi juga perlu membangkitkan isu peluang pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

Kenyataannya itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy.

– BERNAMA


Pengarang :