SELANGOR

Pangsapuri Taman Keramat Permai selamat diduduki-MB

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 22 MEI: Pangsapuri Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur selamat diduduki walaupun kerja penyelenggaraan sedang berjalan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan laporan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

“Mengikut laporan IKRAM, tiada pergerakan kritikal berlaku di pangsapuri Taman Keramat Permai dan ia selamat diduduki.

“Kita juga berharap tiada pergerakan berlaku dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pemaju asal akan bertanggungjawab untuk memantapkan serta mengukuhkan keretakan yang terjadi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Sumbangan Eidul Fitr Parlimen Gombak, di sini hari ini.

Pada 26 April lalu, penghuni Blok F pangsapuri terbabit digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan.

Kejadian itu memaksa 222 penghuni daripada 37 keluarga berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

 


Pengarang :