SELANGOR

‘Panjat tiang licin’ gamit perhatian, angkat tradisi masyarakat India

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 5 MEI: Panjat Tiang Licin yang juga salah satu permainan tradisional masyarakat India paling menggamit perhatian pengunjung pada Pertandingan Tradisional Masyarakat India Sempena Tahun Baru Chittirai di Padang Awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Sungai Tua dengan kerjasama PKM Parlimen Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membawa keistimewaan tersendiri dengan mengembalikan semula permainan laman itu yang kebanyakannya kian dilupakan generasi muda masa kini.

Pengerusi Penganjur merangkap Naib Ketua Cabang Gombak, Nanto Gopalan Krishnan berkata, panjat tiang licin diketengahkan bagi memberi pendedahan kepada komuniti setempat, khususnya anak muda dengan teknik permainan yang betul.

Katanya, sebanyak enam kumpulan bersaing dalam permainan berkenaan bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM800.

“Setiap kumpulan terdiri daripada enam peserta dan mereka akan memanjat tiang yang disapu minyak gris setinggi lapan meter untuk mendapatkan kain yang diikat di puncak tiang berkenaan.

“Kumpulan yang berjaya mendapatkan kain itu dikira sebagai pemenang,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, peserta, Ruven Ravindran, 22, berkata, dia teruja dan seronok dapat merasai pengalaman memanjat tiang licin memandangkan tidak pernah berpeluang mencuba permainan itu sebelum ini.

Katanya, sebagai anak muda yang lahir ketika negara sedang berkembang pesat dek perubahan teknologi, pengalaman bermain sukan tradisional adalah sesuatu yang sangat berharga dan tidak akan mensia-siakan peluang itu.

“Meskipun tidak pernah bermain permainan tradisional sebelum ini, tetapi lepas main (panjat tiang) saya dapat tahu cara dan teknik permainannya.

“Permainan ini memerlukan kesungguhan selain sokongan dan kerjasama rakan, kalau tak satu pasukan akan kalah. Jadi, kenangan ini tidak akan luput daripada ingatan saya begitu juga rakan-rakan yang bermain,” katanya.

Program bermula jam 8 pagi tadi menarik penyertaan kira-kira 500 golongan muda yang tidak melepaskan peluang menyertai permainan lain antaranya tarik tali, kabaddi dan pecah belaga.

Tidak ketinggalan, pesta yang lazimnya disambut pada April hingga Mei setiap tahun itu turut menyajikan permainan khusus kepada golongan wanita seperti gubahan bunga melur dan membina kolum termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkesempatan menyalakan lampu ‘kutuvelakai’ dan memecahkan bunga pasu sebagai simbolik perasmian sambutan Chittirai.

Hadir sama, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan; wakil Pejabat Parlimen Gombak, Razali Ramli dan Ahli Majlis Zon 7 MPS, Decandran Sevaraju.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :