Selangorkini
EKONOMI

Pasaran getah dijangka tidak banyak berubah

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangkakan tidak banyak berubah minggu depan, dengan peserta pasaran dijangkakan mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sementara menunggu pemangkin baharu.

Seorang peniaga berkata dagangan juga dijangkakan kekal dalam kedudukan berhati-hati selari pergerakan ringgit, selain dipengaruhi harga minyak mentah serta prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau.

“Asas pasaran dijangkakan kekal kukuh disebabkan oleh kekurangan semasa bahan mentah di negara pengeluar utama getah serta pengurangan eksport semasa oleh negara anggota Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC),” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran didagangkan rendah, menjejaki faktor luaran.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi harga tayar SMR 20 susut 6.5 sen kepada 615.00 sen sekilogram dan lateks pukal susut tiga sen kepada 478.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutupan rasmi bagi gred tayar SMR 20 turun 8.5 sen kepada 615.0 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 2.5 sen kepada 479.0 sen sekilogram.

– BERNAMA


Pengarang :