GLOBAL

PBB beri pengecualian sekatan projek UNICEF di Korea Utara

SEOUL, 21 MEI: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberikan pengecualian sekatan bagi membolehkan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) melaksanakan program bantuan di Korea Utara dalam usaha meningkatkan kesihatan dan nutrisi rakyat di negara itu, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan di laman sesawang PBB.

Pengecualian itu, yang diberikan pada 11 April, telah membuka jalan kepada UNICEF mengimport barangan bagi menghantar bekalan air selamat kepada komuniti dan membolehkan rawatan berkesan di hospital, terutama untuk kanak-kanak dan ibu yang tak seimbang pemakanannya.

Barangan yang diluluskan bernilai kira-kira US$5.75 juta secara keseluruhan termasuk kit kesihatan kecemasan, kerusi roda dan peralatan elektronik, menurut kenyataan itu.

Set bahan paling mahal ialah kelengkapan rantaian vaksin sejuk dari Denmark bernilai US$3.87 juta. UNICEF berkata barangan itu akan digunakan bagi menyimpan vaksin untuk sejumlah 355,000 kanak-kanak di bawah usia setahun dan 362,000 wanita hamil.

UNICEF berkata petugasnya akan melakukan pemantauan tetap bagi memastikan barangan itu digunakan untuk tujuan yang dihasratkan.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pengecualian kemanusiaan yang diberikan berkaitan Korea Utara ialah 22. Pengecualian itu sah selama enam bulan.

Aktiviti kemanusiaan tidak dilarang di bawah sekatan antarabangsa namun bahan-bahan yang berkaitan adalah tertakluk kepada pengecualian sekatan daripada PBB.

-BERNAMA


Pengarang :