GLOBAL

PBB harap perjanjian nuklear Iran dipertahan

WASHINGTON, 9 MEI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap perjanjian nuklear Iran dapat dipertahankan meskipun Tehran mengancam untuk menarik diri daripada kesepakatan itu, lapor agensi berita Anadolu.

“Pelan Tindakan Komprehensif Bersama itu merupakan pencapaian utama dalam isu senjata nuklear dan telah menyumbang kepada keamanan serta keselamatan serantau juga antarabangsa,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Kenyataan Guterres itu dibacakan jurucakapnya Farhan Haq dalam satu sidang akhbar pada Rabu.

Perjanjian itu mercu tanda antara Iran dan negara kumpulan P5 + 1 – yang mengenakan sekatan ketat ke atas program nuklear Tehran – sebagai balasan apabila Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan ke atas Iran.

Presiden Iran Hassan Rouhani pada Rabu mengancam untuk menarik diri daripada perjanjian itu dalam tempoh 60 hari jika kepentingan Tehran tidak dilindungi.

Iran juga bersedia meneruskan aktiviti pengayaan uranium apabila perlu, menurut ketua Agensi Tenaga Atom Iran Ali Akbar Salehi.

Tahun lalu, Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian terbabit selain mengenakan sekatan lebih ketat terhadap sektor tenaga dan perbankan Iran.

Trump turut mengumumkan untuk menamatkan pengecualian sekatan terhadap negara yang masih mengimport minyak dari Iran.

Pengecualian untuk China, India, Jepun, Korea Selatan dan Turki itu akan tamat awal Mei. Ia bertujuan untuk memberikan tekanan ke atas Iran.

-BERNAMA


Pengarang :