SELANGOR

PeBT MBSA rai 40 keluarga kurang bernasib baik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 25 MEI: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meraikan 40 keluarga sekitar Kampung Sungai Kandis serta Zon 15 di Dewan MBSA Sungai Kandis, semalam.

Pengerusi Belia Tempatan(PeBT) Zon 15, Muhammad Syaril Showkat Ali berkata, ia selaras dengan sepuluh teras utama PeBT yang membantu melatih anak muda memperkasakan nilai kepimpinan dan organisasi diri.

“Pada masa sama, ia adalah usaha sama dan membabitkan anak muda tempatan yang merancang dari awal sehingga ke akhir program.

“Lazimnya, anak muda lebih berminat kepada aktiviti sukan seperti futsal, permainan elektronik dan sukan lasak namun menerusi program ini dapat memberi pendedahan terhadap kebajikan masyarakat serta mendidik sikap prihatin terhadap golongan yang lebih memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis; Mohd Zawawi Ahmad Mughi, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor; Jestin Raj Savarimuthu dan Ahli Majlis MBSA Zon 15 dan 13.

Dalam kenyataan sama, Mohd Zawawi berkata, menerusi program itu, ia dapat memberi kesedaran sekali gus memupuk sikap kerjasama dalam kalangan belia di kawasan terbabit.

“Di samping itu, setiap program yang kita diadakan, kita juga perlu menerapkan tradisi ‘Yuk Munjung’ (Jom Mengunjung) bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik untuk kongsi keriangan Aidiliftri ini,” katanya.

 


Pengarang :