NASIONAL

Pejabat pusat penyelidikan MARDI terbakar

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Pejabat Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Seri Kembangan, Serdang terbakar lewat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 6.50 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Cyberjaya, BBP Bangi dan BBP Kajang.

“Kejadian membabitkan tingkat dua bangunan yang hanya menempatkan ruang pejabat.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian makmal penyelidikan yang mengandungi pelbagai bahan kimia,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Menurutnya, anggaran keluasan kebakaran adalah 432 meter persegi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata, tiada pekerja berada di dalam bangunan dua tingkat itu yang menempatkan bahagian pejabat dan makmal penyelidikan ketika kebakaran berlaku.

— BERNAMA


Pengarang :