BERITA UTAMANASIONAL

Pekerja amanah teras kemajuan negara – TPM

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pekerja beramanah merupakan teras kemajuan sesebuah negara.

Dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja yang bakal disambut hari ini, Dr Wan Azizah berkata isu-isu penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dapat dielakkan sekiranya pekerja mempunyai sifat amanah.

“Seseorang pekerja yang setia kepada negaranya tidak akan terlibat dalam perbuatan salah laku.

“Perkhidmatan yang jujur dan amanah serta berdedikasi adalah penting untuk membangunkan negara… pembangunan negara tercinta ini adalah tanggungjawab yang kita pikul bersama,” katanya di laman Facebook.

Menurutnya, nilai amanah juga sangat penting dalam diri seseorang kerana ia adalah tuntutan dalam agama Islam.

Dr Wan Azizah juga menyedari hakikat bahawa banyak keluarga memerlukan lebih ramai ibu bapa untuk keluar bekerja dalam era globalisasi kini.

“Kerajaan prihatin terhadap keluarga-keluarga nukleus di mana kedua ibu-bapa bekerja dan tidak ada saudara-mara yang tinggal bersama membantu menjaga anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa inisiatif telah diusahakan oleh kerajaan untuk memberi ketenangan kepada ibu bapa semasa bekerja, termasuk mengadakan taska di hampir setiap kementerian.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menambah 50 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan dalam usaha meringankan bebanan ibu bapa yang bekerja.

Tambahnya, kerajaan juga dalam usaha memperkenalkan Waktu Kerja Anjal yang merupakan konsep aturan waktu bekerja bagi memberikan peluang kepada pekerja untuk menentukan sendiri waktu kerja masing-masing.

Dr Wan Azizah berkata langkah ini dapat membina jaringan antara majikan dan pekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan harian dan kerja.

Katanya kerajaan akan terus berusaha untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan yang mesra pekerja dan juga menangani isu-isu yang berbangkit.

Beliau turut mengakui dua belas bulan yang lalu merupakan ujian mencabar untuk kerajaan Pakatan Harapan dan sedang berusaha sedaya upaya membina Malaysia Baharu yang diimpikan selain mengajak rakyat untuk turut sama merealisasikannya.

– BERNAMA


Pengarang :