GLOBAL

Pelan damai AS sekadar “menjual ilusi” – Presiden Palestin

RAMALLAH, 28 MEI: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan pelan damai “perjanjian abad ini” yang dicadangkan Amerika Syarikat (AS) dan bengkel ekonomi di Bahrain pada bulan depan, sekadar “menjual ilusi”, lapor agensi berita Xinhua.

“Mereka menjual ilusi dan ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, kita tidak memerlukan bantuan mereka kerana rakyat Palestin mampu membina negara sendiri,” kata Abbas pada satu majlis di Ramallah.

Kenyataan itu merujuk kepada persidangan ekonomi anjuran AS yang akan diadakan di Manama, Bahrain pada 25 Jun.

“Siapa yang mahu menyelesaikan isu Palestin mesti menerusi politik,” katanya.

“Langkah demi langkah kita sedang ke arah mewujudkan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” kata presiden Palestin itu.

Hubungan antara kepemimpinan Palestin dan AS terputus selepas Presiden Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Pada Mei 2018, Washington memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis.

– BERNAMA


Pengarang :