NASIONAL

Pelantikan mahasiswa sebagai Ahli Senat disambut baik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MEI: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pelantikan wakil mahasiswa selaku Ahli Senat universiti.

Presidennya, Muhamad Nur Iman Abdul Khudus berkata, ia selaras seperti yang dilakukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) buat pertama kalinya dalam sejarah pendidikan tinggi negara.

Katanya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga turut melaksanakan pelantikan wakil mahasiswa dalam Majlis Senat.

“Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan pihak pentadbiran universiti awam terhadap peranan dan keupayaan mahasiswa untuk terbabit secara langsung dalam sebuah badan akademik tertinggi universiti yang berkuasa terhadap urusan akademik seperti pengajaran, peperiksaan, penyelidikan, penetapan dan pengurniaan diploma serta ijazah.

“PKPIM mengambil berat hal ini kerana mahasiswa adalah pemegang taruh utama dalam sesebuah institut pendidikan tinggi yang akan terkesan secara langsung dengan dasar akademik ditentukan Senat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, PKPIM optimis universiti tempatan lain akan turut mengikut jejak langkah yang dimulakan UniSZA.

“Ia juga bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menggalakkan pembabitan mahasiswa dalam hal pengurusan dan pentadbiran universiti,” katanya.


Pengarang :