SELANGOR

Pemandu Grab didakwa bunuh Pengurus Acara

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Seorang pemandu grab didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengurus acara yang dipercayai dijumpai dengan beberapa kesan tikaman pada dada dan perut di sebuah pangsapuri di sini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhd Nur Adib Ahmad Noor, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Ahmad Sya Raziq Mohd Razman, 33, di sebuah rumah di Residensi Bistari, Jalan Ukay Bistari, Ukay Perdana di sini antara 11 pagi hingga 12 tengah hari, 11 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 Julai untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, forensik dan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA


Pengarang :