NASIONAL

Pemandu perkhidmatan e-hailing cedera dipukul, ditembak

 

KUCHING, 30 Mei : Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul dan ditembak menggunakan senapang angin oleh penumpangnya di Jalan FAC Matang, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Denis Leong berkata di awal kejadian, pemandu yang berusia 40 tahun itu telah mengambil seorang penumpang warga asing di Kuching Sentral untuk dihantar ke Jantayu Strawberry Farm.

“Semasa dalam perjalanan, suspek mengarahkan pemandu itu memberhentikan kenderaan, sebelum bertindak memukul kepalanya menggunakan tukul dan menembaknya menggunakan senapang angin buatan sendiri.

“Lelaki yang cedera itu kemudian lari ke hutan yang berdekatan untuk menyelamatkan diri. Kini lelaki itu berada di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Denis berkata usaha untuk menjejaki suspek kini giat dijalankan. -BERNAMA


Pengarang :