GLOBAL

Pembangunan ekonomi di tiga wilayah Selatan jalan keamanan

NARATHIWAT (SELATAN THAILAND), 12 MEI: Keamanan di tiga wilayah di Selatan Thailand membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani yang majoriti 80 peratus penduduknya beragama Islam hanya boleh dikecapi melalui kemajuan dari segi pendidikan dan ekonomi sebagaimana yang dirancang oleh Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC).

Timbalan Gabenor Narathiwat, Patimoh Sadiyamu berkata, kerajaan menggalakkan pendekatan ekonomi bagi menyelesaikan masalah dan membangunkan wilayah sempadan selatan itu bagi meningkatkan kualiti hidup dan mewujudkan keamanan yang berkekalan.

Beliau berkata, tiga wilayah berkenaan akan menjadi segitiga ekonomi sebagaimana yang dirancang dan kejayaan itu sudah pasti akan mengubah keadaan sosio-ekonomi penduduk, selain pembangunan dari segi pendidikan kepada generasi baharu juga amat penting supaya mereka dapat membezakan antara perkara baik dan buruk.

“Jika ada yang mengatakan penduduk di tiga wilayah ini sebagai rakyat kelas kedua ia adalah tidak benar.

“Kita perlu menjauhi pemikiran seperti itu kerana kerajaan tidak membezakan sesetengah rakyat kerana kesemuanya dianggap sama,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis berbuka puasa di Sungai Golok di sini, malam tadi.

Selain itu, Patimoh berkata, walaupun keadaan di tiga wilayah belum aman sepenuhnya namun hasrat itu boleh dicapai jika itu yang dimahukan penduduk.

“Apa yang penting, pemikiran seperti yang ada sekarang perlu diubah dan generasi baharu akan dididik supaya kekal menghayati keamanan selain teguh kepada ajaran Islam,” katanya yang telah berkhidmat kira-kira 25 tahun dalam kerajaan.

Dalam perkembangan yang sama, Patimoh yang juga Naib Gabenor wanita tunggal beragama Islam di Thailand berkata, apa yang beliau mahu laksanakan sekarang adalah supaya setiap jabatan kerajaan di tiga wilayah berkenaan seboleh-bolehnya diisi sehingga 50 peratus oleh penduduk beragama Islam.

Beliau berkata, dengan cara itu mungkin boleh mengubah persepsi masyarakat Melayu beragama Islam di Selatan Thailand yang selama ini beranggapan seperti dilayan sebagai rakyat kelas kedua oleh pihak kerajaan.

Katanya, pembangunan juga perlu dipertingkatkan di Selatan Thailand termasuk pembinaan insfrastruktur baharu di pekan Sungai Golok selepas peruntukan sebanyak BHT250 juta untuk Narathiwat diumumkan.

“Apa yang saya lihat, kemajuan di pekan Sungai Golok perlu dipertingkatkan, berbanding di Kelantan di Malaysia yang sudah ada banyak kemajuan seperti pasar raya.

“Sepatutnya, jika Kelantan sudah ada bangunan yang lebih moden, Sungai Golok yang bersempadan dengan Kelantan perlu sama-sama dimajukan supaya ada persaingan,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar kerajaan Thailand membina sebuah pusat bebas cukai di pekan Sungai Golok supaya dapat menambah kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan memandangkan lebih ramai yang memilih untuk membeli-belah di Malaysia.

Selain itu, katanya, Jambatan Muhibah yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok yang dipersetujui dibina secara bersama antara Malaysia dan Thailand perlu dipercepatkan bagi mengubah landskap ekonomi di kawasan bersempadan itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :