SELANGOR

Pembangunan Hulu Langat rancak sepanjang 2019

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 18 MEI: Daerah Hulu Langat menyaksikan pembangunan pesat sepanjang tahun ini dengan nilai projek pembangunan berjumah RM4.833 juta.

Pegawai Daerah, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, perkara ini memberikan impak positif di samping pembangunan institusi agama turut berlangsung rancak seiring dengan pembangunan fizikal.

“Kepesatan pertumbuhan dan pembangunan bandar di kawasan daerah Hulu Langat ini memberikan kesan cukup besar dari segi pembangunan guna tanah serta perlaksanaan projek pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri serta Perasmian Masjid Tahun 1440H/2019 di Masjid Taman Kosas, Ampang.

Antara projek yang dijalankan adalah kerja menaiktaraf kemudahan awam atau asas desa (RM294,000), kerja baik pulih dan menaiktaraf jalan kampung (RM139,000), penyelenggaraan jalan raya negeri dan sistem maklumat rekod jalan raya (MARRIS) berjumlah RM2.1 juta serta tabung wang amanah infra perkuburan sebanyak RM2.3 juta.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut tidak ketinggalan memainkan peranan meningkatkan pembangunan institusi agama di daerah Hulu Langat dengan pelaksanaan kerja tiga projek utama sepanjang tahun ini.

Projek dimaksudkan adalah pembinaan Masjid Bandar Bukit Mahkota dengan kos RM9.2 juta dan telah siap dibina pada 6 Disember tahun lalu.

Shamsul Shahril berkata, sebuah masjid baharu di Bukit Belimbing, Balakong sudah memulakan pembinaan pada 10 Mei lalu manakala pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Pandan Indah, Ampang sedang dalam pembinaan sejak April tahun lalu dengan kos RM29 juta.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :