NASIONAL

Pembekal yakin Perodua capai sasaran jualan menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) sangat teruja dengan pertumbuhan jualan Perodua sebanyak 9.5 peratus yang dicatatkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, satu petunjuk yang kukuh bahawa pengeluar kereta itu akan mencapai sasaran 231,000 unit menjelang akhir tahun.

Presiden P2SA Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata prospek tersebut berjalan dengan baik untuk ekosistem walaupun unjuran yang agak pesimis bagi industri automotif secara umum.

“Pertumbuhan kali ini adalah luar biasa memandangkan industri hanya berkembang kira-kira enam peratus bagi tempoh Januari-April 2018 berbanding 2019, berdasarkan angka-angka dalaman kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perodua telah mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 9.5 peratus kepada 82,700 unit bagi tempoh empat bulan pertama 2019 berbanding hanya 75,500 unit untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pengeluar kereta kompak itu juga mengumumkan sasaran jualan kenderaan sebanyak 231,000 bagi tahun ini atau peningkatan 1.7 peratus daripada 227,243 unit yang dijual pada 2018. Ia juga mengumumkan komitmennya untuk membeli sekurang-kurangnya RM5.4 bilion nilai komponen pada tahun ini, seiring dengan sasaran jualan.

Musa ketika mengulas lanjut, berkata Perodua telah komited dalam menyumbang ke arah kebaikan ekosistem automotif domestik memandangkan kesemua modelnya memiliki lebih 90 peratus kandungan tempatan secara purata.

“Kami juga menghargai komitmen Perodua ke arah menyediakan pengangkutan dengan harga yang berpatutan serta berkualiti tinggi kepada semua rakyat Malaysia walaupun pada masa yang sama masa terus menyumbang balik kepada industri automotif dengan membangunkan sistem sokongan pembekal tempatan di bawah banyak program yang diwujudkan

“P2SA yakin bahawa Perodua akan mampu untuk membangunkan dan memperkukuh ekosistem automotif di Malaysia berdasarkan kepada pelan pertumbuhan perkongsiannya,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :