NASIONAL

Pemimpin perlu terbuka dengar pandangan penjawat awam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menasihatkan pemimpin politik turun ke bawah dan bersikap terbuka mendengar pandangan penjawat awam bagi memastikan setiap polisi dicadang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sikap mesra bersama penjawat awam menerusi perhubungan secara rasmi atau tidak rasmi perlu diteruskan kerana mereka adalah aset untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.

“Perhubungan ada dua, secara rasmi atau tidak rasmi. Secara rasmi seperti hari ini, duduk, datang dan dengar. Tetapi lebih penting adalah (perhubungan) tidak rasmi. Minum kopi, pergi ke rumah dia, ziarah, tahlil dan berbuka puasa.”

“Kalau orang politik hanya menumpukan kepada perhubungan rasmi seperti mesyuarat sahaja, maka tidak berapa berkesan,” katanya.

Mengupas tajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam pada program Dialogue@Shah Alam, Mustapa berkata, komunikasi dua hala turut memberikan kesan besar terutama dalam mendapatkan maklum balas di peringkat bawahan.

Katanya, kerajaan juga perlu melabur untuk memastikan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat dengan bentuk yang mudah difahami terutama kepada masyarakat luar bandar.

“Kalau kita mahu sumbat maklumat sahaja tanpa mahu mendapatkan maklum balas, maka ia tidak berkesan. Apabila ada orang mahu berjumpa dengan kita, kita kena lihat secara positif.

“Yang pertama, kita boleh sampaikan mesej kita dan kedua tidak kurang pentingnya kita boleh dapat maklum balas,” katanya.

Mustapa berkata, secara keseluruhan Malaysia mempunyai 1.6 juta penjawat awam, 800,000 kakitangan kerajaan berpencen dan 400,000 kakitangan swasta di peringkat GLC yang perlu diberikan perhatian.

“Kita kena bercakap dengan satu suara, bercakap sebagai Malaysia sebuah negara hebat.

“Penjawat awam dan politikus kena bekerjasama kerana kita nak bina Malaysia sebagai negara hebat, untuk anak cucu mewarisi negara kita,” katanya.


Pengarang :