NASIONAL

Pemuda autisme agih kuih raya percuma bantu asnaf

KOTA BHARU, 25 MEI: Mempunyai autisme tidak menghalang Muhammad Farid Fakhruddin Md Fauzan, 21, untuk berkongsi rezeki apabila melancarkan kempen ‘Hamper Biskut Raya’ yang bertujuan mengagihkan biskut raya kuih kapit kepada golongan asnaf.

Beliau berkata kempen itu, yang bermula sejak April lepas, berjaya mengutip RM500 hasil sumbangan orang ramai bagi projek amalnya itu.

“Hasil sumbangan orang ramai itu digunakan untuk membeli barangan keperluan bagi menghasilkan biskut raya dan kuih kapit yang akan diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Farid berkata biskut raya dan kuih kapit yang akan diagihkan itu dibuat dan dibakar olehnya sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa.

“Saya memang tidak boleh tengok orang yang susah dan saya akan cuba membantu setakat yang saya mampu.

“Alhamdulilah, walaupun sumbangan yang diterima tidaklah banyak namun sedikit sebanyak ia dapat merealisasikan hasrat saya untuk melaksanakan projek amal pertama ini,” katanya sambil menambah idea projek berkenaan dicetuskan ibunya, Roselina Mohamad Mahiddin,45 tahun.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, bermula Khamis lepas beliau telah mengagihkan bantuan biskut raya kepada enam keluarga yang tinggal di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Bagi projek amal pertama ini saya menyasarkan dapat membantu sekurang-kurangnya 20 keluarga sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari untuk menyiapkan empat hingga lima balang kuih kapit setiap hari dengan pelbagai perisa seperti nutella, coklat, mentega kacang dan cappucino.

Sementara itu, Roselina berkata, Muhammad Farid Fakhruddin mengalami masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan mempunyai minat yang tinggi dalam bidang masakan.

Minat itu turut menjadi terapi yang sangat bagus bagi membantu keadaan Muhammad Farid Fakhruddin untuk fokus dan menjadi lebih baik.

Roselina berkata, anaknya itu memiliki Sijil Kulinari dari Kolej Komuniti Selayang mula membuat kuih kapit secara suka-suka sahaja pada 2016 sebelum menerima tempahan sehingga ke hari ini.

“Muhammad Farid Fakhruddin berjaya membuat jualan melebihi RM3,000 pada Ramadan tahun lepas dan pada bulan lain pula purata jualan antara RM300 hingga RM600 dengan sebalang kuih kapit dijual antara RM20 dan RM30,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa, yang mempunyai anak yang menghidapi austisme, supaya memberi kebebasan kepada mereka untuk mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

– BERNAMA


Pengarang :