SELANGOR

Pemulihan bekalan air di Klang masih di tahap 99%

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MEI: Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan Klang masih berada pada tahap 99 peratus berdasarkan pemantauan dan bacaan tekanan di sistem agihan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, beberapa lokasi dan premis di Bandar Putera 2 serta Taman Sentosa yang menerima bekalan melalui Kolam Lipat Kajang masih belum dapat pulih sepenuhnya.

Katanya, kelewatan pemulihan sepenuhnya di dua kawasan terbabit adalah disebabkan paras Kolam Lipat Kajang masih belum dapat mencapai paras optimum dan menyebabkan tekanan aliran di sistem agihan tidak stabil.

“Bagi mengurangkan impak gangguan, kami melaksanakan tindakan pemulihan bekalan melalui kaedah alternatif sementara kami melaksanakan kerja pemasangan dan pengalihan paip baharu 1400mm bagi penyelesaian kekal saluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan melalui kolam berkenaan.

“Kami menyasarkan kerja pemasangan jajaran paip utama 1400mm ini akan dapat disiapkan sepenuhnya pada hari ini. Sejurus sistem paip utama baharu ini diaktifkan, ianya akan dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kolam dan pemulihan sepenuhnya ke semua kawasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, pihaknya juga masih menggerakkan bantuan lori tangki air secara berterusan ke lokasi dan premis yang masih terjejas serta Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Taman Rakyat dan Taman Sri Andalas masih beroperasi hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kami amat memahami kesulitan yang dialami dan mohon maaf kepada pelanggan-pelanggan yang berada di kawasan yang masih belum mendapat pemulihan sepenuhnya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan bantuan boleh hubungi di talian 15300 atau rujuk aplikasi Air Selangor untuk status terkini.


Pengarang :