NASIONAL

Penagih syabu tertinggi di Perlis – AADK

ARAU, 14 MEI: Penagihan dadah jenis syabu adalah tertinggi di Perlis berbanding dadah jenis lain dan gejala ini disifatkan serius oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, kata Pengarahnya, Azizah Ahmad

“Jumlah penagih syabu meningkat kepada 897 orang atau kira-kira 88.46 peratus daripada jumlah penagih yang dikesan sehingga April lepas berbanding 798 orang atau 75.57 peratus pada tahun lalu.

“Bagi 2017, penagih syabu paling ramai iaitu sebanyak 961 orang atau 62.12 peratus daripada jumlah bilangan penagih dadah yang dikesan,” kata Azizah kepada media semasa ditemui pada program ‘Community Empowerment’ di Dewan RPA Arau di sini, hari ini.

Azizah berkata kempen Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) yang dilancarkan pada 2017 dengan memfokuskan kawasan-kawasan penagihan dadah yang dalam pemerhatian agensi itu menampakkan hasil namun sukar untuk dibanteras sepenuhnya.

“PDH akan lebih berkesan dengan sokongan agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan pihak swasta bagi membebaskan Perlis daripada masalah dadah,” tambahnya.

— BERNAMA

 

 

 

 


Pengarang :