SEREMBAN, 4 Mei– Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) menunjukkan kemahiran memotong daging lembu pada Karnival Jualan Pengguna-Beli Barangan Malaysia hari ini. Karnival tersebut yang telah memasuki tahun keempat penganjurannya menawarkan pelbagai barangan harian seperti beras, gula, tepung, minyak masak, ayam, daging lembu, telur ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual dengan harga berpatutan. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Penambahan barang skim kawalan harga diumum minggu pertama Ramadan

PORT DICKSON, 4 MEI: Tempoh penguatkuasaan dan jumlah penambahan bilangan barangan yang terbabit dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) dijangka diumumkan selepas minggu pertama Ramadan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk pemain industri dan peniaga.

“Kebiasaannya peniaga dan pengeluar agak kurang senang dengan skim kawalan harga ini, namun ia sangat diterima baik oleh pengguna kerana akan mendapat manfaat daripadanya.

“Peranan kementerian adalah untuk mencapai keseimbangan supaya dapat mencapai situasi menang-menang yang mana peniaga masih boleh dapat keuntungan dalam masa sama tanpa membebankan pengguna.

“Justeru, kami akan adakan perbincangan dengan pihak pengeluar, peniaga serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memastikan bekalan barangan mencukupi sebelum kita membuat sebarang pengumuman. Bila semua proses perbincangan selesai, saya akan umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Karnival Jualan Pengguna-Beli Barangan Malaysia, di sini, hari ini.​​​​​​​ Turut hadir merasmikan program itu ialah Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapa lama tempoh dan berapa banyak barangan yang akan terlibat.

Katanya sehingga kini, jumlah tempoh SKHMP keseluruhannya adalah selama 55 hari yang terdiri daripada enam perayaan utama yang disambut di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata KPDNHEP menyasarkan 30 peratus barangan yang dijual di pasar raya seluruh negara terdiri daripada produk usahawan tempatan.

Setakat ini hanya 10 hingga 18 peratus barangan yang dijual terdiri daripada produk usahawan tempatan dan pihaknya akan menggunakan dana RM20 juta yang diperuntukkan kepada kementerian itu pada tahun ini untuk membolehkan lebih banyak produk usahawan tempatan menembusi pasar raya.

“Untuk masuk ke pasar raya, usahawan perlu membayar yuran yang agak tinggi justeru, kami boleh menggunakan sebahagian daripada peruntukan dana ini untuk membantu mereka (usahawan) asalkan produk mereka menarik, berkualiti dan dijual pada harga berpatutan,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihak kementerian juga sudah mengadakan pertemuan dengan AirAsia baru-baru ini bertujuan untuk mempromosi barangan usahawan tempatan untuk dijual dalam pesawat tambang murah itu selain membolehkan usahawan tempatan memanfaatkan platform e-dagang yang dimiliki syarikat penerbangan berkenaan.

“Dua minggu lalu, kita dapat persetujuan untuk memasukkan 550 barangan tempatan untuk dipasarkan AirAsia.

-BERNAMA


Pengarang :