KUALA LUMPUR, 21 Mei — Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra bersama penghuni Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi hari ini. Turut sama Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan). — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Penghuni Sekolah Tunas Bakti nikmati air tangan Permaisuri Agong

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Penghuni Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi (STBSB) hari ini amat bertuah bakal menikmati bubur lambuk resepi istimewa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai juadah berbuka puasa.

Kepakaran dan kelincahan baginda memasak bukan lagi asing memandangkan Tunku Azizah memang terkenal dengan hobi memasaknya.

Baginda yang tiba pada 10.15 pagi disambut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Rose Lena Lazemi serta warga kerja STBSB.

Sebaik saja mengenakan apron, Tunku Azizah terus menyingsing lengan untuk menyediakan dua kawah bubur lambuk ayam dan daging dengan dibantu Hannah serta beberapa warga kerja STBSB.

Antara bahan digunakan baginda adalah santan, lada hitam, halia, bawang dan kerisik.

Selepas tekun memasak kira-kira sejam, baginda berkenan meluangkan masa melawat bengkel kemahiran sebelum menyampaikan bantuan hari raya kepada penghuni STBSB yang berumur sembilan hingga 18 tahun.

Bantuan itu sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Ahmad Zaki Resources Berhad.

Bubur lambuk air tangan baginda itu turut disediakan dalam 100 bungkusan untuk diagih kepada penghuni sekolah tersebut sebagai juadah berbuka.

Sementara itu, Pengetua STBSB Muhammad Razmee Abd Razak menyifatkan kunjungan tersebut sebagai suatu rahmat apabila mendapat tahu ini merupakan hasrat dan inisiatif Tunku Azizah sendiri.

Ditanya berhubung maklum balas daripada penghuni sekolah itu apabila mendapat tahu mengenai kunjungan Tunku Azizah, Muhammad Razmee berkata kesemua mereka berasa amat dihargai lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Pada mulanya mereka tidak percaya apabila saya beritahu, sebab saya sering bergurau dengan mereka, sehinggalah ada raptai, baru mereka percaya,” katanya.

STBSB, menempatkan 118 penghuni lelaki merupakan institusi kanak-kanak di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 1970 itu ditubuhkan bagi tujuan pendidikan, latihan dan penahanan di bawah Seksyen 65 Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA


Pengarang :